Tuesday, February 10, 2015

Langkah demi langkah bersamaNya

Tahun 2015, tahun kelima saya melayani juga bekerja di tempat ini. Kerinduan saya di tempat ini masih sama seperti mula-mula saya tiba di tempat ini lima tahun yang lepas. Mungkin kerinduan itu lebih besar kerana begitu banya pengalaman yang saya peroleh di tempat ini sehingga hari ini saya berada di sini apa adanya. Bukan kerana kuat, bukan kerana gagah tetapi kerana kesempatan yang Tuhan berikan sehingga saya masih mampu bertahan dan mempelajari begitu banyak perkara di tempat ini.

Memulakan karier di tempat ini tidak begitu sukar berbanding dengan memulakan pelayanan saya di tempat ini. Pelayanan yang telah banyak membawa saya kepada turun naiknya kepercayaan saya, sehingga kadang kala saya berada di suatu tahap yang paling rendah dalam perlumbaan iman saya. Namun, pada saat tersebut juga pekerjaan Tuhan dan suara Tuhan yang luar biasa berbisik agar saya tidak menyerah sebaliknya terus terbang tinggi. Sehingga pada hari ini, saya sangat bersyukur kepada Tuhan apabila mengingati kembali saat-saat saya menyerah dan ingin berputus asa, di situlah Tuhan sendiri yang bekerja. Saat ini, saya mampu melihat pekerjaan Tuhan yang luar biasa, benih-benih yang ditabur mula tumbuh subur dan begitu banyak tuaian. Pada saat ini juga, Tuhan menjawab doa saya apabila seorang demi seorang penuai diutuskan olehNya....Terima kasih Bapa :)

Satu hal yang seringkali saya ingatkan diri saya dan juga anak-anak muda yang saya layani agar sentiasa mengambil peluang untuk mengucapkan syukur dan minta pengampunan daripada Tuhan setiap kali mempunyai peluang. Saya ingatkan diri saya, apa yang akan berlaku sekiranya suatu hari tiba-tiba saya tidak punya kesempatan untuk bangun dari tidur saya. Suatu penyesalan jika saya tidak pernah mengucapkan syukur dan minta pengampunan daripada Bapa kerana saya tidak mungkin memiliki peluang yang sama lagi. 

Setiap hari, saya juga memperingati diri saya untuk melakukan setiap pekerjaan dengan sepenuh hati agar apa yang saya lakukan dapat memberkati orang lain. Apa pun yang saya lakukan, harus dilakukan dengan sukacita agar saya dapat menyalurkan sukacita tersebut kepada orang lain. Biar setiap perbuatan dan perkataan yang kita tuturkan memberkati orang lain. Belajar, belajar, belajar untuk merendah diri dan belajarlah untuk memberkati orang lain biar sekecil apa pun yang kita lakukan. :)